Pages

Saturday, January 3, 2009

Ucapan Tahun Baru

Assalaamualaikum wbt dan salam sejahtera….


Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberikan kita peluang untuk untuk terus sujud menyembahNya pada saat dan ketika ini. Saya selaku Presiden PPMS ini rasanya belum terlewat untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430H dan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua pembaca blog ini khususnya dan semua umat islam amnya.


Kebetulan pada tahun ini Maal Hijrah 1430H dan Tahun Baru 2009 disambut pada minggu yang sama. Tetapi dari pemerhatian saya terhadap warga umat Islam negara kita, mereka lebih tahu tentang tarikh tahun baru masihi 2009 berbanding tarikh tahun baru Islam 1430H. Ini amat menyedihkan dan saya boleh katakan yang fenomena ini di alami oleh seluruh dunia islam pada hari ini. Ini baru satu perkara yang dikategorikan furu’ dan belum melibatkan isu-isu umat islam yang lebih besar.



Sindrom pengabaian dan tidak cakna kepada ilmu adalah punca kepada permasalahan ini dan secara langsung atau tidak langsung ia menyumbang kepada kemunduran umat islam. Bukan sahaja mundur dari aspek fizikal tetapi mereka juga mundur dari aspek kerohanian dan akhlak malah lebih teruk lagi. Jika dilihat, diamati, direnungi, dikaji dan diselidiki tentang masalah sosial dan jenayah yang melibatkan kes sivil dan juvana pada hari ini, peratusan tertinggi ‘disumbangkan’ oleh umat islam. Semua orang akan bertanya kenapa ini boleh berlaku? Sebenarnya, jawapan ada pada diri kita sendiri tetapi kita hanya bercakap dan melemparkan tuduhan tetapi tidak memberi idea dan membantu untuk menyelesaikan masalah ini.



Atas kesedaran ini, kami dari kalangan tenaga profesional yang ada di sekitar Kuantan telah bersetuju untuk membantu menyelesaikan kekusutan umat ini. Pada 23 Oktober 2008, NGO kami Persatuan Pembimbing Masyarakat Sejatera (PPMS) telah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan Kementerian Dalam Negeri (ROS) Cawangan Pahang. Objektif PPMS ini ada pada namanya iaitu ingin membimbing masyarakat kearah jalan hidup yang lebih sejahtera menurut pandangan Islam. Kami menumpukan kepada semua lapisan masyrakat kerana barah umat ini telah menyerang semua pihak.



Sekarang pihak kami sedang menyelesaikan beberapa lagi perkara yang melibatkan urusan teknikal sebelum membuka keahlian kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbangkan idea, tenaga dan sebagainya di dalam persatuan ini.



Satu yang dikesalkan pada masa umat Islam dan dunia menyambut kedatangan tahun baru Hijrah dan Masihi dengan sinar harapan kehidupan yang lebih baik, umat Islam dan masyarakat di Palestin sedang bergelumang dengan hidup dan mati setiap saat dan ketika akibat kekejaman rejim Israel Laknatullah. Bilakah akan berakhir tragedi berdarah dan menyayat hati seluruh dunia ini. Maka dikesempatan ini, saya menyeru kepada semua masyarakat dunia yang cintakan keadilan, keamanan, kesejahteraan dan keharmonian hidup agar dapat melakukan sesuatu walau sekecil mana pun untuk mengutuk, memboikot dan menunjukkan protes kita terhadap kegilaan perang dan kemusnahan hidup bermasyarakat di Palestin kini. Semoga keamanan, kebebasan dan keadilan dapat tertegak untuk bumi Palestin khususnya dan kepada seluruh dunia amnya. Marilah kita berdoa agar tahun ini memberikan kebaikan kepada semua.


Saya selaku Presiden PPMS ini berharap kita semua dapat berubah kearah yang lebih baik dan benar-benar ikhlas dan jujur untuk melaksanakan azam kita masing-masing pada tahun ini.



Selamat Tahun Baru 1430H dan 2009M……..

Hijrah Dirai Masihi Dinanti…….

0 komen:

Post a Comment