Pages

Monday, September 6, 2010

FUIYO RAMADHAN 2010 BERLANGSUNG MERIAH



Seawal pagi 11 Ramadhan 1423H bersamaan 21 Ogos 2010, para fasilitator Persatuan Pembimbing Masyarakat Sejahtera Pahang (PPMS) telah berkumpul di perkarangan Masjid Felda Sg. Panching Utara, Pahang untuk menjayakan program Fasting With Youth atau ringkasnya FUIYO Ramadhan 2010.


Program ini adalah susulan daripada program MESEJ2010 yang telah diadakan di felda Sg. Panching Utara pada 26 Jun 2010 yang lalu. Berbeza dengan MESEJ2010 yang mensasarkan penglibatan semua peringkat usia, FUIYO Ramadhan lebih memfokuskan kepada pelajar-pelajar sekolah di peringkat usia 9 ke 12 tahun.


Program FUIYO Ramadhan 2010 ini telah dijalankan dengan kerjasama antara PPMS dan Persatuan Alumni Politeknik Sultan Azlan Shah (POLISAS) di mana Alumni POLISAS telah menjadi penaja utama dari segi hadiah dan jamuan berbuka puasa. Selain itu program yang julung kali diadakan ini juga telah mendapat kerjasama yang amat baik daripada pihak pengurusan Felda, JKKK dan pengurusan sekolah SK Felda Sg. Panching Utara terutamanya dari Pengerusi JKKK iaitu Tn. Haji Jamaludin dan guru besar SK Panching Utara, Cikgu Roslan. Selain itu penghargaan tidak terhingga juga kepada guru-guru yang terlibat sebagai pemerhati sepanjang program ini berlangsung.
Menariknya walaupun program ini dijalankan ketika umat Islam sedang berpuasa namun ianya telah berjaya menarik penyertaan seramai 52 orang para pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Sg. Panching Utara selain barisan fasilitator yang terdiri daripada ahli-ahli PPMS sendiri.


Antara pengisian dalam FUIYO Ramadhan kali ini ialah para peserta dibawa mengenali nama-nama 25 rasul melalui lagu nyanyian kumpulan Raihan bertajuk ‘25 rasul’. Paling membanggakan apabila terdapat beberapa orang peserta yang telah berjaya menghafal kesemua nama 25 rasul setelah selesai slot berkenaan. Seterusnya peserta diajak menghayati sifat rasulullah dan kegigihan baginda berdakwah agar dapat dicontohi oleh peserta dalam proses pembelajaran di sekolah.

Dalam program ini juga, para peserta diterapkan dengan nilai-nilai murni dan sikap yang perlu ada pada seseorang pelajar melalui slot ‘Si Buta’. Melalui slot ini mereka diberi kesedaran bahawa dalam proses menuntut ilmu akan ada gangguan-gangguan yang cuba menghalang fokus mereka terhadap pelajaran. Justeru peserta perlu tahu menilai dan mengenalpasti gangguan-gangguan tersebut supaya tidak terpengaruh dan akhirnya menggagalkan mereka untuk memperolehi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.


Di sebelah petang, diadakan slot tayangan video di mana peserta dibawa menyaksikan filem animasi kisah Nabi Muhammad saw. Ternyata filem ini berjaya menarik perhatian sebahagian peserta yang kelihatan begitu khusyuk menghayati filem berkenaan. Seharusnya lebih banyak filem berbentuk pengajaran sebegini dihasilkan untuk tatapan anak-anak muda masa kini yang sebenarnya masih tercari-cari identiti dan hala tuju untuk diikuti. Syukur melalui program ini sekurang-kurangnya mereka mendapat sedikit sebanyak pendedahan bahawa hiburan tidak semestinya terbatas kepada nyanyian atau filem sajian barat semata-mata.


Dalam program ini juga, apa yang menarik ialah sepanjang program peserta berpeluang bersolat secara berjamaah bersama-sama qariah masjid pada waktu zuhur dan asar. Sebaik selepas selesai solat asar, para peserta yang masih kelihatan bertenaga dan semakin bersemangat meneruskan pula aktiviti ‘Permainan Periuk Api’. Dalam permainan ini, peserta diberi kesedaran betapa pentingnya untuk merancang strategi dan melakukan perbincangan dalam kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat. Dua perkara ini jika diamalkan dalam proses pembelajaran, pasti akan membantu mereka untuk memperolehi keputusan yang baik dalam pelajaran.


Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah diadakan sekitar jam 5.30 petang. Setiap peserta menerima cenderamata daripada PPMS sebagai tanda penghargaan di atas penyertaan mereka. Seorang peserta lelaki dan seorang peserta perempuan pula telah dipilih sebagai peserta terbaik dan menerima cenderamata sumbangan Alumni Polisas. Peserta lelaki terbaik ialah adik Harith Iskandar Bin Abdul Aziz dan peserta perempuan terbaik ialah adik Nur Qistina Bin Mohd Azmi. Manakala kumpulan terbaik telah menerima hadiah berbentuk hamper. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tn. Haji Jamaludin selaku Pengerusi JKKK Felda, En. Nazri selaku Penolong Pengurus Felda, Dr. Azhar Kamaludin selaku Pengerusi PPMS, dan saudara Nik Mohd Haikal selaku pengarah program Fuiyo Ramadhan 2010.





Ketua Kumpulan 5, pemenang kategori kumpulan terbaik menerima hadiah daripada Tuan Haji Jamaludin, Pengerusi JKKK Felda Sg. Panching Utara.



Hadiah untuk pemenang peserta lelaki dan perempuan terbaik disampaikan oleh Encik Nazri selaku Penolong Pengurus Felda Sg. Panching Utara.



Sebelum masuk waktu berbuka puasa, para peserta dibawa mengikuti tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Dr. Mansur daripada Universiti Malaysia Pahang. Antara mesej yang disampaikan dalam tazkirah tersebut ialah pengajaran daripada ibadah puasa, perlunya menghormati ibu dan bapa dan kepentingan mencontohi akhlak dan sikap rasulullah untuk berjaya.



Kemuncak acara adalah program berbuka puasa di antara semua peserta, fasilitator dan ajk masjid. Peserta dihidangkan dengan menu istimewa pilihan peserta sendiri iaitu Nasi Ayam masakan catherer kantin sekolah SK Panching Utara. Pihak urusetia mengucapkan ribuan terima kasih atas jamuan yang disediakan.

Bagi pihak penganjur, PPMS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Alhamdulillah matlamat PPMS untuk mendekati masyarakat dan menyumbang usaha ke arah membentuk masyarakat sejahtera sedikit sebanyak telah tercapai melalui program ini.
Insya Allah untuk program terdekat ini PPMS sedang merancang untuk mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya yang maklumat terperincinya akan dimaklumkan tidak lama lagi. Jazakallah, wassalam.

0 komen:

Post a Comment